5 Amalan Sunnah Ketika Menerima Kelahiran Bayi Baru

Tangisan seorang bayi sebaik sahaja keluar ke dunia sebenar merupakan kegembiraan yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata oleh kedua ibu bapanya. Namun, di sebalik kegembiraan menimang cahaya mata, ada beberapa amalan sunnah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa berkenaan . Antara yang dianjurkan di dalam Islam adalah seperti berikut.

baby-baru-lahir

1. AZAN DAN IQAMAT

Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak.

Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w.: Dari Abu Rafi’, katanya: Aku melihat Rasulullah s.a.w. mengumandangkan azan di telinga al-Hasan bin Ali ketika ibunya (Fatimah) melahirkannya. (HR Abu Daud & At-Tarmizi).

Mengapa azan?
Adalah wajar anak ini diazan dan diiqamatkan agar kalimah pertama yang didengarnya dan tembus ke gegendang telinganya adalah kalimah seruan Yang Maha Agung. Kalimah yang mengandungi persaksian (syahadah) terhadap keesaan Allah dan persaksian terhadap kerasulan Muhamad bin Abdullah s.a.w.

Anak yang baru menghirup udara dunia ini telah diajarkan dengan aqidah dan syariat Islam, sebagaimana seseorang yang akan mati diajarkan dengan kalimah tauhid `La ilaha illallah’. Agar pengaruh azan ini dapat meresap ke dalam diri anak ini.

Azan dikumandangkan ke telinga bayi agar seruan dakwah kepada Allah dan agamanya dapat mendahului seruan jahat syaitan. Azan dan iqomah yang diperdengarkan akan dirakam oleh bayi berkenaan yang menjadi sebahagian dari pendidikan tauhid, syariat dan akhlak.

2. TAHNIK ANAK

Tahnik digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya ialah dengan mengunyah tamar, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat dikunyah itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak, dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian dalam mulut anak tadi terutamanya di lelangit. Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis.

Hikmahnya ialah untuk menguatkan urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu.

Dan yang lebih utama, `tahnik’ ini adalah digalakkan supaya dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sifat taqwa dan soleh. Ini adalah sebagai suatu penghormatan dan harapan agar anak ini juga akan menjadi seorang yang taqwa dan soleh.

Hadis Rasulullah s.a.w. dari Abu Burdah, dari Abu Musa r.a., katanya: Aku telah dikurniakan seorang anak. Lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. dan baginda menamakannya dengan Ibrahim, men`tahnik’nya dengan kurma serta mendoakannya dengan keberkatan. Kemudia baginda s.a.w. menyerahkannya kembali kepadaku. (HR Bukhari & Muslim)

3. MENCUKUR RAMBUT BAYI

Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin. Ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi. Pertamanya, untuk menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran. Keduanya, ialah hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.

4. MEMBERIKAN NAMA ANAK

Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh.

Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Antara cadangannya ialah berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith dan Hammam manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.

Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya. Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq.

5. AQIQAH

Majoriti ulamak termasuk mazhab Shafie menggalakkannya (sunat). Untuk anak lelaki, dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing.

Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh. Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.

Mudah-mudahan dengan melakukan amalan-amalan sunah ini akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah S.W.T. Insha Allah

(Visited 3,392 times, 5 visits today)

Jida

Assalamualaikum/ Hi!
Salam Perkenalan buat semua pembaca Ruzidah.com
Nama saya Ruzidah Abdullah ~~ boleh panggil Akak dengan nama Jida.
Saya adalah merupakan Pengedar Shaklee (933174) di kawasan Banting-Dengkil-Sepang dan Seluruh Malaysia. =)

2 thoughts on “5 Amalan Sunnah Ketika Menerima Kelahiran Bayi Baru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

error: Content is protected !!