8 Peranan Suami Di Saat Isteri Hamil, Momen Indah Di Kongsi Bersama

Kondisi seorang ibu hamil adalah tidak sama dengan wanita yang tidak hamil. Walaupun mungkin dia tidak merungut kepenatan dalam menguruskan kehidupan seharian. Akan tetapi sebagai suami yang prihatin, anda perlu tahu apa peranan anda di saat isteri sedang hamil?

peranan suami bila isteri hamil-anak

1- Jadi pendengar setia

Pada peringkat awal wanita mengandung, biasanya emosi mereka akan mudah terganggu dek kerana perubahan hormon yang berlaku dalam badannya. Hati wanita hamil akan mudah tersentuh seperti merasa sedih, mudah tersinggung dan rasa dipinggarkan. Kadang-kadang perempuan hamil ni pun tanpa sedar terbawa-bawa dengan emosi sendiri sehinggakan anda merasa pelik akan perubahan mereka.

Sesungguhnya, perhatian daripada keluarga terdekat amat diperlukan ketika itu terutamanya daripada suami. Suami hendaklah memberikan motivasi dan sedia menjadi pendengar di saat isteri meluahkan perasaannya.

2- Sentiasa membantu

Semasa isteri anda sedang sarat mengandung, tidak perlulah anda bertanya mengenai perkara-perkara yang perlu anda bantu. Apabila melihat kain yang bertimbun tidak berbasuh, ringan-ringanlah tangan untuk membantu membasuh kain-kain tersebut. Sama juga halnya dengan kerja-kerja rumah yang lain seperti mengemas, cuci pinggan dan sapu sampah. Tidak jatuh maruah seorang suami sekiranya bersikap ringan tulang apalagi disaat isteri sedang hamil.

3- Sediakan tempat yang selesa

Buatkan isteri anda berasa tenang supaya dia dapat berehat dan tidur secukupnya. Sediakan keperluan seperti pakaian ibu mengandung, sandal yang selesa untuk kakinya, krim untuk kurangkan stretch mark, pregnancy/ maternity pillow untuk bantu isteri tidur dengan lebih selesa dan sebagainya.

4- Pastikan isteri mendapat makanan yang berkhasiat

Isteri amat memerlukan makanan yang berkhasiat ketika hamil agar badan mereka tidak lemah dan bertenaga untuk melakukan kerja harian. Makanan yang berkhasiat juga akan memastikan kandungan berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami masalah.

Terdapat 8 jenis nutrisi yang perlu diambil oleh wanita ketika hamil. Sekiranya isteri anda yang sedang hamil adalah seorang yang makan ikut suka dan tidak mengamalkan pemakanan seimbang ketika hamil, sewajarnya anda perlu menasihatkannya supaya mengamalkan Vitamin yang diperlukan ibu hamil supaya kesihatannya terjaga dan pertumbuhan janin dalam perutnya berkembang seiring dengan usia kandungan.

5- Pastikan isteri menjalankan pemeriksaan rutin ketika hamil.

Sebagai suami anda perlulah peka dengan keadaan kesihatan isteri dan anak dalam kandungan. Bawa isteri untuk rutin pemeriksaan bulanan di hospital serta pastikan isteri mendapat rawatan sepatutnya dengan segera sekiranya terdapat isu kesihatan seperti pendarahan, darah tinggi atau kencing manis semasa hamil.

6- Memastikan barang keperluan bayi dan isteri cukup.

Sediakan kepeluan bersalin dan berpantang serta kelengkapan bayi baru lahir yang mencukupi contohnya set bersalin, minyak urut, lampin pakai buang, bengkung, pakaian bayi, pam susu, minyak telon, kain napkin dan sebagainya. Senarai barang boleh dibawa berbincang dengan isteri apabila usia kandungan sudah mencecah enam atau tujuh bulan supaya persediaan dapat dibuat dengan tenang dan rapi.

Sekiranya berpantang sendiri, siapkan jadual serta senarai resepi makanan dalam pantang supaya rumahtangga dapat diuruskan dengan baik walaupun isteri anda tengah berpantang. Jika berkemampuan, anda boleh mencari bibik untuk menjaga isteri dan bayi anda semasa dalam pantang.

7- Fahami hati Isteri

Bersiap untuk menghadapi ujian untuk mengukur betapa besarnya cinta anda kepadanya. Jangan terkejut jika dia meminta sesuatu yang aneh di tengah malam. Kalau permintaan itu masih mampu dipenuhi, apa salahnya penuhi permintaan ibu kepada anak anda. Namun, sekiranya benda yang dimintanya adalah sukar untuk diperolehi, cubalah beritahunya dengan baik-baik kenapa anda tidak dapat penuhi permintaannya.

8- Tingkatkan ibadah wajib dan sunat serta berdoa untuk isteri dan bakal bayi.

Tingkatkan amalan kerohanian seperti solat hajat, berzikir, membaca Al-Quran serta berdoa untuk kesejahteraan isteri dan anak dalam kandungan. Ini juga membantu menguatkan jiwa anak yang bakal dilahirkan.

—————————————————————————————————————-

Semoga dengan info yang disediakan ini, anda dapat menggunakannya  dengan baik. Sesungguhnya, kebahagiaan sebuah rumah tangga itu terhasil daripada sikap bertolak ansur dan saling memahami antara kedua-dua pihak. Insha Allah.

(Visited 581 times, 7 visits today)

Jida

Assalamualaikum/ Hi! Salam Perkenalan buat semua pembaca Ruzidah.com Nama saya Ruzidah Abdullah ~~ boleh panggil Akak dengan nama Jida. Saya adalah merupakan Pengedar Shaklee (933174) di kawasan Banting-Dengkil-Sepang dan Seluruh Malaysia. =)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

error: Content is protected !!