8 perkara jangan buat pada bayi baru lahir

Anak yang baru dilahirkan perlulah dijaga dengan sebaik-baiknya agar si kecil dapat dilindungi dari sebarang masalah dan penyakit sejak dari awal. Antara perkara yang sepatutnya diberi perhatian pada bulan pertama kelahiran adalah seperti berikut :-

bayi

1. Jangan beri sembarangan orang cium

Apabila berita kelahiran ‘ahli baru’ dalam keluarga kita disebarkan pada saudara-mara dan kawan-kawan, maka ramailah ‘pelawat’ yang akan datang berkunjung. Namun begitu, jangan terlalu dedahkan bayi anda pada orang lain dalam minggu-minggu pertama kehidupan mereka. Ini kerana, pendedahan pada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Sebabnya sistem imunisasi mereka belum berfungsi sepenuhnya.

Jadi sebagai ibu prihatin pastikan sesiapa yang ingin mencium dan memegang bayi anda dalam keadaan bersih. Jika nampak kotor, berilah apa-apa alasan atau terus terang saja sebabnya.

2. Jangan ubah suasana rumah

Bayi memang perlukan banyak perhatian tapi tak perlulah sampai mengubah suasana rumah antaranya seperti langsung tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang bising. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu.

3. Jangan biar lampin kotor terlalu lama

Kulit bayi yang masih kecil adalah sensitif dan mudah untuk mendapat ruam. Sentiasa periksa keadaan lampin agar si manja sentiasa selesa dan tidak bocor. Bila lampin penuh, cepat-cepat tukar dengan lampin baru.

4. Jangan guna puting

Baru seminggu lahir bayi sudah beri puting, tindakan ini tidak elok. Pemberian puting terlalu awal boleh kelirukan rutin penyusuan. Sebabnya bayi memang suka menghisap. Terbaik berikan susu ibu sebab bayi sudah terbiasa dengan suhu tubuh, degupan jantung dan bau ibu.

5. Jangan terlebih gaya

Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan berlebihan baju penuh renda dan anak tak selesa.

Fabrik yang tidak sesuai juga boleh mengakibatkan alergi pada bayi. Malah, ada juga aksesori seperti hiasan kepala yang mungkin boleh mengundang kecelakaan pada bayi sekiranya tersangkut pada apa-apa objek.

Berfesyen untuk bayi itu tidak salah, asalkan tidak mendatangkan masalah dan selesa untuk bayi.

6. Jangan abai temu janji doktor

Doktor akan mengatur jadual pemeriksaan untuk bayi jadi jangan sesekali abaikan terutama bila nampak bayi ada masalah. Ibu bapa baru memang selalu risau tentang perkara yang sebenarnya normal dan doktor mampu memberi penjelasannya.

7. Jangan bagi makanan

Sistem penghadaman bayi di bawah 6 bulan masih terlalu muda dan belum bersedia untuk memecahkan kanji dan karbohidrat. Tubuh bayi masih belum menghasilkan enzim yang mencukupi untuk proses ini. Enzim amilase di dalam air liurnya belum cukup bagus untuk menjalankan proses pencernaan pertama.

Tubuh bayi masih belum dapat memproses lemak. Manakala buah pinggangnya masih belum bersedia untuk memproses protein yang tinggi dari sumber telur, daging dan susu lembu (Protein di dalam susu ibu adalah berbeza).

8. Jangan bagi air selain susu

Perut bayi sangat kecil. Apabila perut bayi telah dipenuhi air, bayi akan merasa kenyang dan kurang berminat untuk menyusu susu ibu. Akibatnya segala khasiat susu ibu tidak dapat diberikan secara optima kepada bayi.Ini boleh menjejaskan pertumbuhan dan khasiatnya kerana air tidak mengandungi sebarang khasiat. Di samping itu, kajian mendapati pemberian air glukos pada minggu pertama kelahiran dikaitkan dengan kehilangan berat badan yang banyak lalu merencatkan tumbesaran.

Tentu sahaja anda tidak mahu semua ini terjadi pada permata hati anda kan? Cegahlah sebelum terjadi sesuatu di kemudian hari. Namun begitu, jangan pula terlalu obses, cukuplah berpada-pada dan beringat.

(Visited 6,889 times, 20 visits today)

Jida

Assalamualaikum/ Hi! Salam Perkenalan buat semua pembaca Ruzidah.com Nama saya Ruzidah Abdullah ~~ boleh panggil Akak dengan nama Jida. Saya adalah merupakan Pengedar Shaklee (933174) di kawasan Banting-Dengkil-Sepang dan Seluruh Malaysia. =)

5 thoughts on “8 perkara jangan buat pada bayi baru lahir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

error: Content is protected !!