Bayi 4 bulan pandai apa?

Assalamualaikum w.b.t

Tiba-tiba saja terasa nak  google-google apa yang baby-baby 4 bulan pandai apa di usia seawal itu. Yelah sementelah baby Dalili dah berusia 4bulan dan satu minggu, maka nak jugak lah tau adakah perkembangan anakanda beta ni sama ke tidak dengan baby-baby lain kat Malaysia ni. Nanti kan kalau pi check up kat klinik, sah-sah nurse akan tanya kita balik , anak dah pandai apa? Kann?

perkembangan-bayi

Apabila bayi anda mencapai usia empat bulan, dia sudah mempunyai kebolehan baru iaitu meniarap dan menelentang. Mula-mula si Dalili start meniarap pada usia 3 bulan setengah. Menangis jugak lah sebab tangannya tak boleh nak lepas.Struggle jugalah dia nak meniarap awal-awal. Tapi sekarang ni (selepas 3 minggu pandai meniarap), pantang kita baringkan atas tilam, secara automatik terus dia nak pusing meniarap. Dah expert la katakan. Kalau anda perasan, bila bayi anda dibaringkan atas perutnya, dia akan mengangkatkan kepala dan bahunya seberapa tinggi dan menggunakan lengannya untuk mengampu dan menahan. Tekan tubi mininya ini membantu bayi mengukuhkan otot-otot dan dia juga akan mendapat pandangan yang baik tentang perkara-perkara yang sedang berlaku di sekitarnya. Bila dah pandai meniarap, anda akan dapati pula dia dah boleh terlentang balik. Tapi, sila pastikan yang ada orang dewasa bersama ketika dia sedang meniarap. Risau jugak, takut lemas(akibat muka tersembam) pula bila dia dah penat.

Perkara kedua yang saya perhatikan ialah si kecik ini sekarang sudah boleh memanjangkan tangannya dan merampas sesuatu objek. Pernah saya bawa balik barang dari kedai runcit, dia berminat nak pegang beg plastik yang saya bawak tu. Lepas dia kaji apakebenda yang dia dapat rampas tadi, dengan senang hati dia terus masuk dalam mulut (Ermm, sedap. Macam kertas pasir!) . Pertama kali dia mencuba untuk pegang biasanya dia akan terlepas sasarannya. Tapi, anda tak perlu risau kerana itu adalah normal. Selagi benda yang dia pegang itu tidak berbahaya, biarkan seketika dia meng’explore’ dunia barunya.

Di usia 4 bulan ini juga anda akan dapat memerhatikan air liur bayi anda banyak meleleh sekarang. Selalu-selalulah lap mulutnya dengan kain supaya takde lah nanti lencun pulak bajunya nanti. Takpun letak sahaja bibs baby di dadanya. Bila dah basah, boleh lah tukar dengan yang baru. Tidak lah perlu bersusah payah untuk menukar baju lain pula.

Selain itu, bayi anda juga mungkin sudah pandai bermain dengan tangan dan kakinya untuk beberapa minit setiap kali. Saya suka lihat Dalili tendang-tendang bantal yang ada dikakinya. Macam belajar berenang pulak gayanya. Lagi-lagi bila tengok kaki kecil dan montel nya tengah sepak-sepak sesuatu.Macam comel je..Geram nak gigit..Hihi…

Para penyelidik percaya bahawa menjelang usia empat bulan, bayi anda sudah boleh memahami semua bunyi-bunyi asas dalam bahasa ibundanya. Antara usia empat dan enam bulan, dia menguasai kemahiran membuat bunyi vokal, seperti “ma-ma” atau “da-da.” Walau bagaimanapun, dia tidak mengaitkan bunyi itu dengan ibu atau bapanya. Sekarang, dia juga boleh menyertai mainan tiru-meniru bunyi – anda sebut “bu”, dan dia akan cuba menyebutnya juga. Saya suka sangat mengajuk Dalili ketika dia marah bila lambat di berikan susu. Nadanya seperti orang membebel tapi sebenarnya dia cuma menyebutnya ’em-em-em’ sahaja tapi  dalam nada yang marah-marah manja.

Untuk info : Bayi boleh mengecam warna dari dia mula lahir, tetapi mempunyai kesukaran membezakan nada terang-gelap dan corak warna seperti oren dan merah. Sebab itu, mereka lebih gemar hitam dan putih atau warna yang berkontras tinggi. Antara usia dua dan empat bulan, perbezaan warna menjadi lebih jelas, dan bayi anda mula dapat membezakan nada dan corak yang berlainan bagi sesuatu warna. Bayi anda akan menunjukkan kegemaran bagi warna primer yang terang. Berbalik pada plastik barang rucit yang dia nak telan sebelum ni, memang pun plastik itu berwarna merah dan saya pasti warna begitu sangat menarik pada pandangan mata dia.

Menjelang empat bulan, bayi anda mungkin sudah boleh menunjukkan respon terhadap kehadiran anda, suara anda dan juga ekspresi muka anda dengan menendang-nendang dan melambai-lambai tangannya. Cuba anda hulurkan tangan padanya, adakah dia membalas balik dengan menghulurkan tangannya juga? Walaupun belum ketara, tapi bila Dalili angkat-angkat tangan minta di dukung, itu sudah cukup menggembirakan. Sejuk rasa hati  dapat layan si kecik bila balik kerja. Terus hilang semua beban kerja.

Sekitar masa ini juga, bayi anda, yang setakat ini cenderung memberi senyuman kepada semua orang yang dijumpainya, mula memilih orang-orang yang dia mahu berada dekat dengannya. Jika dia berada dalam kumpulan ramai atau dengan orang yang tidak dikenalinya, dia mungkin memerlukan sedikit masa untuk menjadi selesa. Sediakan sedikit masa untuk bayi membuat transisi apabila berjumpa dengan orang yang tak dikenalinya atau apabila bayi ditinggalkan dengan penjaga.

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian sosial mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu. Jangan terlalu memikirkan sangat cakap-cakap orang.  Tidak semua bayi itu sama perkembangannya. Kita sebagai ibu bapa bertindak sebagai perangsang dan penyokong anak-anak dalam dia menempuhi perkembangan hidup bulan demi bulan.

dalili
Saya lah tu, Nur Auni Dalili – 4 bulan
(Visited 4,593 times, 44 visits today)

Jida

Assalamualaikum/ Hi!
Salam Perkenalan buat semua pembaca Ruzidah.com
Nama saya Ruzidah Abdullah ~~ boleh panggil Akak dengan nama Jida.
Saya adalah merupakan Pengedar Shaklee (933174) di kawasan Banting-Dengkil-Sepang dan Seluruh Malaysia. =)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

error: Content is protected !!